Sat10212017

LAST_UPDATEFri, 27 Oct 2017 9am

Polis Tahan 26 Disyaki 'Ah Long', Sita Harta RM2 Juta

KUALA LUMPUR - Polis menahan 26 orang disyaki anggota kumpulan 'ah long' yang bertindak ganas semasa memungut hutang, di sekitar Johor Bahru dan Ipoh, Perak.

Dalam operasi itu yang bermula dari 10 malam tadi hingga 4 pagi ini, seramai 23 lelaki tempatan dan tiga wanita termasuk seorang warga Vietnam berumur di antara 17 dan 51 tahun ditahan polis.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersil Bukit Aman, Datuk Acryl Sani Abdullah Sani berkata, dalam operasi itu, polis turut merampas 21 kenderaan mewah dianggarkan bernilai RM1.4 juta dan wang tunai sebanyak RM416,050.

"Polis juga merampas 18 beg tangan wanita berjenama termasuk Chanel bernilai RM150,000," katanya kepada Bernama di sini, hari ini.

Selain itu, katanya polis merampas 83 kad ATM, 17 buku bank, sembilan parang dan sembilan pedang samurai dalam operasi itu.   

Acryl Sani berkata, jumlah sitaan harta keseluruhan operasi itu dianggarkan RM2 juta.

Beliau berkata, modus operandi sindiket itu adalah dengan menarik 'pelanggan' menerusi iklan dan risalah di kawasan perumahan dan perniagaan yang menjadi tumpuan awam.  

Peminjam akan dikenakan faedah tinggi di antara 10 hingga 15 peratus dan ditawarkan pinjaman baharu bagi membantu menyelesaikan pinjaman.

"Sindiket ini bergiat aktif sejak dua tahun lepas di kawasan sekitar Johor...mereka bertindak ganas dengan membuat ugutan dan menyimbah cat semasa membuat kutipan wang.

"... ramai anggota sindiket itu juga dipercayai mendalangi kegiatan samseng serta kongsi gelap di sekitar negeri berkenaan," katanya.

- Bernama