Wed06282017

LAST_UPDATEFri, 30 Jun 2017 8am

Seludup Kekasih Banduan Dalam Beg

CARACAS: Seorang wanita di Venezuela mendapat idea mudah dan amat bijak untuk melarikan teman lelakinya dari penjara dengan menggunakan beg.

Rancangan Antonieta Robles Saouda itu hampir berjaya tetapi wardar Penjara Puente Ayala menghidu sesuatu tidak kena apabila melihat dia begitu sukar mengheret beg berisi kekasihnya Ibrain Jose Vargas Garcia, 25.

Disebabkan itu mereka mengarahkannya membuka beg berwarna merah jambu berkenaan sebelum melihat Vargas meringkuk di dalamnya.

Vargas yang menjalani hukuman penjara sembilan tahun lapan bulan kerana mencuri kereta bagaimanapun diarahkan terus kekal dalam kedudukan itu untuk membolehkan pengawal penjara berkenaan mengambil gambarnya.

Penjara di Amerika Selatan membenarkan banduan dikunjungi pelawat untuk semalaman dan Antonieta datang ke situ membawa anak perempuannya berusia enam tahun dan beg besar berwarna merah jambu itu.

Dia kini turut ditahan dan akan didakwa di mahkamah.

Anaknya pula diletakkan dalam penjagaan sementara pekerja perkhidmatan kebajikan.

- Harian Metro