Fri07212017

LAST_UPDATEThu, 20 Jul 2017 10pm

Sarawak Kehilangan Pemimpin Yang Membawa Negeri Lebih Cemerlang - Abang Johari

KUCHING, 11 Jan (Bernama) -- Rakyat Sarawak kehilangan ketua menteri serta seorang pemimpin yang ingin membawa negeri ini ke arah yang lebih cemerlang, kata Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Abang Johari Tun Openg.

Beliau berkata Ketua Menteri Tan Sri Adenan Satem bekerjasama dengan kerajaan pusat di bawah pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan pada masa juga mendapatkan kembali hak-hak negeri.

Adenan, 72, meninggal dunia akibat komplikasi jantung pada kira-kira 1.20 tengah hari di Pusat Jantung Kota Samarahan, di sini.

Abang Johari yang kelihatan sebak ketika mengumumkan berita kematian Adenan dalam sidang media khas di Bilik Gerakan Negeri, Wisma Bapa Malaysia, Petra Jaya, berkata rakyat kehilangan seorang anak watan yang begitu berjasa kepada negeri dan negara.

Turut hadir Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Douglas Uggah Embas dan Setiausaha Kerajaan Negeri Tan Sri Mohd Morshidi Abdul Ghani.

Abang Johari berkata semalam merupakan kali terakhir beliau dan Uggah bertemu Adenan, beberapa hari selepas Anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) Tanjung Datu itu mendapatkan rawatan di Pusat Jantung Sarawak di Kota Samarahan.

"Allahyarham agak ceria semasa saya bertemu beliau semalam. Saya mengenali beliau sejak zaman kanak-kanak lagi kerana kami berasal dari kampung yang sama dan Adenan sangat bijak orangnya.

"Beliau bergaul rapat dengan semua orang. Ia satu kehilangan besar kepada kami, terutamanya warga Sarawak. Allahyarham amat merendah diri dan mempunyai banyak idea," katanya.

Abang Johari berkata jenazah Adenan akan dibawa dari kediamannya di Damai Jaya, Santubong ke Masjid Jamek Negeri Sarawak di Petra Jaya pada 10 pagi esok sebelum disemadikan di Tanah Perkuburan Islam Samariang selepas solat Zuhur.

Sementara itu, Uggah berkata Sarawak kehilangan seorang pemimpin yang berjuang mempertahankan hak-hak negeri.

"Kami ada bersama-sama beliau semalam. Beliau kelihatan girang, sering tersenyum, dan bertanya tentang cakap-cakap di kedai kopi serta berjenaka dengan kami berdua," katanya.

Pada Sabtu lepas, Adenan dijadual menyempurnakan majlis pecah tanah Rancangan Memulihkan Koridor Sungai Lembangan Batang Kayan di Lundu, kawasan dalam DUN Tanjung Datu, kira-kira 100 kilometer dari sini.

Bagaimanapun, Allahyarham yang baru pulang daripada bercuti di Australia, diwakili oleh Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar.

-- BERNAMA