Mon05012017

LAST_UPDATEMon, 01 May 2017 10am

Seluruh Rakyat Sarawak Bersedih – Ratu Terjun Negara

Seluruh rakyat Malaysia khususnya rakyat Sarawak hari ini berduka selepas kehilangan pemimpin paling disayangi,Tan Sri Adenan Satem, yang meninggal dunia kira-kira 1.20 tengah hari tadi di Institut Jantung Negara (IJN), Hospital Umum Sarawak di Kota Samarahan.

Allahyarham yang mesra dengan panggilan Tok Nan dalam kalangan rakyat Sarawak bukan sahaja seorang pemimpin yang bersahaja, malah seorang yang berjiwa rakyat.

Antara yang turut bersedih dengan pemergian Ketua Menteri Sarawak kelima itu adalah ratu terjun negara, Pandelela Rinong.

Menerusi laman sosial Twitter, Pandelela menzahirkan rasa terkejut dan sedih di atas kehilangan pemimpin ternama itu.

“Berita yang menyedihkan buat seluruh rakyat Sarawak dan sudah tentu juga saya. Ketua Menteri kesayangan kami, (Tan Sri) Adenan Satem telah meninggal dunia.

“Saya amat sedih berhubung berita pemergian pemimpin hebat Sarawak (dan) kesayangan kami. Takziah kepada keluarga Allahyarham. Semoga roh kamu bersemadi dengan tenang, Tuan,” demikian kata Pandelela dalam catatan di laman Twitternya.

Adenan, yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Tanjong Datu meninggal dunia pada usia 72 tahun akibat sakit jantung. 

Menurut Timbalan Ketua Menteri, Datuk Amar Abang Johari Tun Openg, jenazah Allahyarham akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Samariang, Kuching.

Allahyarham meninggalkan seorang isteri, Puan Sri Jamilah Anu dan lima anak.

Beliau mengangkat sumpah jawatan sebagai Ketua Menteri Sarawak pada 28 Februari 2014, menggantikan Tan Sri Abdul Taib Mahmud yang meletak jawatan.

- mD