Sat04292017

LAST_UPDATEFri, 28 Apr 2017 10pm

[Terkini] Ketua Menteri Sarawak Adenan Satem Meninggal Dunia

KUALA LUMPUR: Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Adenan Satem, 72, meninggal dunia kira-kira 1.20 tengah hari tadi di Institut Jantung Negara (IJN), Hospital Umum Sarawak di Kota Samarahan.

Perkara tersebut disahkan oleh Menteri Kerajaan Tempatan Datuk Prof Dr Sim Kui Hian, lapor Malay Mail, sebentar tadi.

Sementara, pemimpin-pemimpin negara dan barisan Kabinet serta ahli politik turut memuat naik ucapan takziah di laman Twitter masing-masing, mengesahkan pemergian Allahyarham.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak menerusi laman Twitter turut menzahirkan ucapan takziah atas pemergian tokoh politik terkenal itu.

"Jasa Allahyarham kepada Sarawak amat besar, Malaysia kehilangan seorang pemimpin berwibawa. Takziah kepada keluarga. Semoga roh dicucuri rahmat. Al-Fatihah," tulis Najib dalam entrinya.

"Takziah kepada Puan Sri Jamilah & keluarga & rakyat negeri Sarawak atas kembalinya ke rahmatullah Ketua Menteri TS Adenan Satem. Al Fatihah,” kata Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar dalam catatan di laman Twitternya.

Adenan, yang dilahirkan pada 27 Januari 1944 di Kuching Sarawak meninggalkan isteri Puan Sri Jamilah Anu dan lima anak.

Allahyarham yang merupakan Ketua Menteri Sarawak kelima mempunyai rekod yang cemerlang dalam politik - memenangi kesemua kerusi negeri dan parlimen yang pernah ditandinginya sejak 1979.

- mD