Sun08202017

LAST_UPDATESun, 20 Aug 2017 10am

Dahulu Mahathir Sendiri Mahu China Teraju Ekonomi Dunia, Sekarang Marah Najib Jalin Kerjasama Malaysia-China

KUALA LUMPUR: Sentimen kenegaraan tidak seharusnya menjadi penghalang kepada impian untuk mengadaptasi kaedah globalisasi ekonomi yang merupakan realiti perniagaan masa ini.

Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Salleh Said Keruak berkata, di United Kingdom, syarikat kenderaan tempatan seperti Land Rover, Jaguar dan Mini juga menunjukkan peningkatan jualan, sungguhpun syarikat tersebut kini dimiliki pelabur asing.

"Malah Volvo juga semakin berkembang sejak China mengambil alih syarikat yang mana ianya hampir gulung tikar sebelum ini," katanya.

Mengulas mengenai kenyataan Salleh Said, bekas editor media Bussiness Times dan Malay Mail, Datuk Ahiruddin Attan berkata, Menteri Komunikasi dan Multimedia itu merujuk kepada sentimen politik Tun Dr Mahathir Mohamad terhadap jalinan kerjasama Malaysia-China.

Dr Mahathir menerusi blognya, chedet.cc mendakwa, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak menjual negara secara tidak langsung apabila menjalin hubungan ekonomi erat dengan China.

Ahiruddin atau lebih dikenali dengan panggilan Rocky Bru menegaskan, amalan globalisasi sudah lama dipraktikkan Malaysia, malah Dr Mahathir sendiri sudah melaksanakannya sewaktu menjadi Perdana Menteri selama 22 tahun dahulu.

"Kita boleh lihat apabila Malaysia membeli syarikat motosikal MV Agusta dahulu. Dan juga Proton membeli syarikat kenderaan Lotus. Ini merupakan contoh amalan globalisasi ekonomi," katanya kepada Malaysian Digest.

Tambahnya, globalisasi membuka peluang besar kepada pasaran antarabangsa dan ianya tidak boleh dianggap sebagai menjual negara sepertimana dakwaan Dr Mahathir.

"Jika kita lihat jiran kita di Singapura, mereka telah mengglobalisasikan ekonomi mereka jauh lebih lama daripada kita. Lihat betapa maju mereka walaupun mereka hampir tiada produk keluaran tempatan sepertimana kita ada Proton," ujarnya.

Katanya, segala tuduhan dilemparkan oleh Dr Mahathir disebabkan oleh perasaan marahnya kepada Najib namun tidak boleh dinafikan, Dr Mahathir sendiri melobi agar China menjadi kuasa terbesar dunia mengatasi Amerika Syarikat.

"Dahulu Dr Mahathir mencadangkan penubuhan Kumpulan Ekonomi Asia Timur (EAEG) yang kemudiannya ditukar kepada Kaukus Ekonomi Asia Timur (EAEC). Tun sangat terdesak untuk sokongan China menyertai Kaukus tersebut

"Supaya rantau kita ini dipaksikan kuasa besar seperti China dan Jepun, dan bukannya Amerika," katanya menjelaskan dakwaan Dr Mahathir sekadar retorik politik semata-mata.

Mengulas lanjut, Rocky mengimbau kembali kenyataan dibuat oleh Dr Mahathir sewaktu menjadi Perdana Menteri apabila beliau menyarankan rakyat untuk 'memandang ke timur'.

"Jadi dakwaan bahawa transaksi perniagaan sebagai menjual negara adalah tuduhan murah demi mendapatkan kepentingan politik.

"Tuduhan bahawa orang China akan datang, orang Arab nak ambil alih dan sebagainya sekadar untuk menakut-nakutkan rakyat," katanya lagi.

- Malaysian Digest