Sat05262018

LAST_UPDATESat, 26 May 2018 10am

Minyak Dan Rasionalisasi Subsidi

Subsidi ialah wang yang dibayar oleh kerajaan kepada perbadanan tertentu yang bertujuan untuk menstabilkan atau menurunkan harga, berbanding harga pasaran, agar sesuatu barangan atau perkhidmatan mampu dinikmati oleh rakyat yang memerlukan. Perbelanjaan subsidi semakin meningkat tahun demi tahun.

Pada tahun 2006, perbelanjaan subsidi adalah sebanyak RM10 billion; ia meningkat kepada RM24.9 billion pada tahun 2010 dan terus meningkat kepada RM27.3 billion untuk tahun 2016. Walaupun tujuan sebenar subsidi adalah untuk membantu golongan yang berpendapatan rendah dan sederhana, matlamatnya seringkali tersasar apabila ia lebih menguntungkan golongan yang berpendapatan tinggi.

Sebagai contoh, subsidi minyak petrol lebih menguntungkan pemilik kenderaan mewah berbanding golongan miskin di luar bandar yang hanya menggunakan kenderaan kecil atau mungkin tidak memiliki kenderaan. Maka, apakah cara yang terbaik untuk menangani perkara ini? Bagi minyak petrol dan diesel, kerajaan telah memutuskan penetapan harga runcit mengikut pengapungan terkawal sejak 2 tahun lepas.

Terkini, langkah rasionalisasi subsidi minyak masak diambil sebagai cara yang lebih efektif dalam membantu mereka yang benar-benar memerlukannya, iaitu kumpulan berpendapatan rendah. Dengan rasionalisasi ini, subsidi bukannya ditarik balik. Subsidi minyak masak masih disalurkan kepada minyak masak paket 1 kilogram. Ia juga langkah membendung kegiatan penyelewengan oleh pihak yang tidak bertanggungjawab.

Sebelum ini, kerajaan mengeluarkan subsidi untuk hampir 85,000 tan metrik sebulan tetapi penggunaan minyak masak di Malaysia hanyalah sebanyak 40,000 tan metrik sebulan. Kemanakah perginya lebih separuh lagi minyak masak yang telah diberikan subsidi? Harga minyak masak bersubsidi Malaysia pada RM2.50 setiap kilogram merupakan yang paling murah di rantau ini sekaligus mendorong aktiviti penyeludupan yang semakin berleluasa. Malah, harga minyak masak di Indonesia yang merupakan pengeluar sawit terbesar dunia, adalah sekitar RM4.30 setiap kilogram manakala negera jiran, Thailand, sekitar RM5.00 sekilogram.

Harga minyak sawit mentah (MSM) di pasaran dunia sekarang adalah RM3,000 setiap tan metrik. Ini bermakna, harga minyak yang belum diproses dan dibungkus lagi sudah mencecah RM3.00 setiap kilogram. Maka, kos subsidi yang perlu ditanggung kerajaan semakin meningkat dengan kenaikan harga MSM tetapi separuh daripada pengeluaran minyak sawit yang disubsidi itu tiris akibat eksploitasi penyeludup serta peniaga yang meraih keuntungan berlipat ganda.

Sebagai satu langkah agar kegiatan penyeludupan ini dapat dikurangkan, selain daripada meningkatkan penguatkuasaan di sempadan, subsidi diterhadkan untuk minyak masak yang dijual dalam bentuk paket 1 kilogram sahaja manakala produk yang sama yang dibotolkan sama ada dalam bentuk 1, 3, atau 5 kilogram dijual pada harga pasaran.

Untuk yang betul-betul susah dan memerlukan subsidi minyak, mereka masih boleh mendapatkan minyak pada harga RM2.50 sekilogram dalam bentuk paket. Sebagaimana pasaraya besar seperti Tesco dan Giant yang membekalkan barangan berjenama sendiri (own-label brand) pada harga yang lebih murah berbanding harga pasaran, begitu juga Kedai Rakyat 1Malaysia. Pilihan di tangan pengguna.

Langkah rasionalisasi subsidi bukan bermakna kerajaan mengurangkan jumlah subsidi ketika ini. Sebaliknya, kerajaan telah memperuntukkan tambahan RM400 juta lagi dalam bajet tahun ini disebabkan kenaikan MSM. Tuduhan subsidi minyak masak dihapuskan tidak benar sama sekali. Jika rasionalisasi subsidi ini tidak dilakukan, ia mungkin menjejaskan program sosial dan transformasi kerajaan serta subsidi ke atas perkhidmatan-perkhidmatan kerajaan yang lain, contohnya kos perkhidmatan kesihatan di hospital dan klinik kerajaan yang masih rendah setakat ini disebabkan subsidi yang ditanggung kerajaan.

Caj pesakit luar bagi satu lawatan termasuk segala jenis siasatan adalah hanya RM1.00 untuk hospital besar, hospital daerah dan poliklinik. Caj RM1.00 itu termasuk untuk ubat-ubatan manakala caj untuk bertemu doktor pakar hanyalah RM5.00.

Caj rawatan untuk pesakit yang dimasukkan ke wad ialah RM10.00 (kelas satu), RM5.00 (kelas dua) dan percuma (kelas tiga). Selain itu, kos untuk bersalin secara normal di hospital kerajaan adalah RM10.00 sahaja, manakala jika melalui pembedahan (caesarean), kos hanyalah RM100 dengan caj wad harian sebanyak RM3 (sehari). Anggaran caj bersalin secara normal dan menggunakan wad kelas pertama bagi warganegara Malaysia adalah sekitar RM450. Kos sebenar tertakluk kepada jenis perkhidmatan, fasiliti serta kes. Ini jauh lebih murah jika dibandingkan dengan hospital swasta.

Bagi hospital swasta, contohnya di Hospital Pakar KPJ Ampang Puteri, anggaran kos untuk bersalin secara normal ialah RM3,500, manakala untuk bersalin melalui pembedahan kosnya antara RM10,000 dan RM12,000, tidak termasuk kos lain jika terdapat komplikasi dan juga kos khidmat runding bagi setiap lawatan atau rawatan doktor pakar. Kos paling murah untuk wad ialah RM100 untuk 4 atau 5 katil dalam satu wad, tidak termasuk cukai. Umpama atau mungkin lebih mahal daripada bayaran sewa bilik hotel.

Kini, kerajaan turut menyediakan perkhidmatan Klinik 1Malaysia yang dibuka sehingga jam 10 malam setiap hari termasuk hari minggu dan cuti umum, juga dengan caj RM1.00, untuk memastikan kebajikan dan kesihatan golongan berpendapatan rendah dan di pedalaman terjaga.
Kakitangan kerajaan dan ahli keluarga mereka pula boleh mendapatkan rawatan dan perubatan percuma di semua hospital dan klinik kerajaan. Pesara kerajaan, golongan warga emas, dan pemegang kad Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), termasuk orang kelainan upaya (OKU), juga dikecualikan daripada bayaran.

Dalam keadaan di mana kos perkhidmatan dan perubatan semakin tinggi, kerajaan masih mengekalkan caj yang sama demi kesejahteraan rakyat. Jika dibandingkan, harga segelas teh o ais pun mungkin lebih daripada RM1.00.
Dalam pembentangan Bajet 2017 baru-baru ini, kerajaan telah mengumumkan peruntukan sebanyak RM24.6 billion untuk subsidi dan bantuan sosial. Ini menunjukkan kerajaan tetap komited untuk menyalurkan subsidi kepada perkhidmatan asas seperti pendidikan, kesihatan dan pengangkutan awam. Semoga subsidi yang diumumkan ini dapat diagihkan dan dinikmati oleh seluruh rakyat Malaysia terutama kumpulan sasar yang memerlukan.

 

Johari Yap
Pengerusi Persatuan Cina Muslim Malaysia (MACMA), Cawangan Kelantan