Sat06232018

LAST_UPDATEFri, 22 Jun 2018 11pm

Penubuhan Semangat 46 Mudah Sebab UMNO Zaman Mahathir Berpecah Dari Atas Sampai Bawah

KUALA LUMPUR: Bekas pemimpin Semangat 46, Tan Sri Tengku Razaleigh Hamzah menegaskan penubuhan parti baru ditubuhnya pada lewat 1980-an berbeza dengan parti proksi Tun Dr Mahathir yang ditubuhkan baru-baru ini.

Ujarnya, Semangat 46 atau S46 dutubuhkan ekoran beberapa pemimpin UMNO dihalang menyertai UMNO Baru pada 1988 selepas parti asal dibubarkan oleh Pendaftar Pertubuhan setahun sebelumnya.

"Kami tubuhkan S46 dengan mudah kerana UMNO (pada zaman Dr Mahathir) berpecah dari atau sampai bawah. Maka ianya memudahkan kita untuk membangunkan bahagian dan cawangan daripada ahli UMNO yang dihalang menyertai UMNO Baru," katanya dipetik The Star.

Jelasnya, parti Dr Mahathir sekarang - Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) - akan berdepan kesukaran mendapatkan sokongan terutama dari kalangan UMNO disamping tidak mempunyai akar umbi, memaksa parti berkenaan bermula dari bawah.

"Dia (Mahathir) hanya mahu orang tertentu sertai, jadi untuk membentuk cawangan dan bahagian tidak mudah (baginya)," ujarnya..

Mengulas mengenai status ahli sekunder kepada ahli bukan Melayu menyertai Bersatu, Tengku Razaleigh menyifatkan keputusan tersebut akan menyukarkan lagi parti dipandu Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Presiden itu untuk mendapatkan pengikut.

"Jika ahli bersekutu tidak boleh mengundi, mereka tidak boleh menentukan hala tuju parti.

"Jika parti tidak mewakili etnik berbilang kaum, saya rasa ianya sukar bagi mereka unutk meraih sokongan," katanya.

Muhyiddin sebelum ini mengumumkan Bersatu hanya akan mengambil keahlian dari masyarakat Bumiputra sahaja (Melayu dan Pribumi Sabah dan Sarawak) sementara penyokong bukan Melayu hanya boleh berganding sebagai ahli bersekutu yang tidak mempunyai hak bertanding dan mengundi.

"Semakin ramai golongan muda berfikiran terbuka, dengan pendidikan dan pendedahan dengan keadaan semasa negara kita," tambah Ahli Parlimen Gua Musang itu.

Ditanya samaada akan menyertai parti berkenaan, Tengku Razaleigh berkata, "Saya sudah menjadi ahli UMNO."

"Saya masih ahli UMNO dan saya tidak nampak apa-apa masalah (menjadi ahli UMNO). Jika saya nampak kesalahan, saya fikir saya perlu berikan idea, cadangan atau usul dari dalam parti," katanya lagi.

- Malaysian Digest