Sun02182018

LAST_UPDATESat, 17 Feb 2018 10pm

Kemiskinan Punca Jenayah Meningkat Di Kelantan?

Sejak akhir-akhir ini, kes jenayah semakin menjadi-jadi. Kejadian seorang nenek 89 tahun disamun, ditumbuk di muka dan dipotong kakinya menggemparkan negara baru-baru ini. Dalam kejadian yang berlaku sekitar jam 5 petang pada bulan puasa sementara menunggu waktu berbuka, mangsa, Mek Som Mat Diah, sedang berehat di ruang tamu rumahnya bersama anak perempuannya yang berumur 55 tahun.

Akhbar melaporkan penyamun yang berusia 19 tahun itu yang merupakan jiran sekampung mangsa, menceroboh rumah Mek Som dan meminta wang. Apabila mangsa enggan memberikan wang yang diminta, remaja tersebut bertindak agresif dengan menumbuk muka mangsa sehingga mangsa terjatuh dan terus memotong kaki mangsa menggunakan pisau. Remaja tersebut ditahan oleh penduduk kampung dan diserahkan kepada pihak polis. Ujian air kencing mendapati dia positif dadah.

Remaja tersebut, Mohd Fikri Noor Rosland, yang bekerja sebagai tukang rumah, dijatuhi hukuman penjara 11 tahun di Mahkamah Sesyen Pasir Mas selepas mengaku bersalah atas kesalahan percubaan membunuh yang didakwa mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun.

Banyak faktor yang menyumbang kepada kejadian jenayah. Salah satunya ialah desakan hidup. Boleh jadi seseorang itu berada dalam kesempitan hidup dan memerlukan wang. Situasi ini biasanya terjadi apabila mereka tidak diterima untuk mana-mana pekerjaan dan ketika mereka sangat memerlukan wang, mereka memilih jalan pintas untuk memperoleh wang seperti dengan merompak.

Dalam kes di atas, pemuda tersebut terdesak kerana dipercayai ingin membeli dadah. Mungkin kesan dadah telah menguasai pemikirannya sehingga dia tidak berfikir secara waras dan sanggup mencederakan seorang wanita yang bukan sahaja sudah tua dan tidak berdaya, malah dikenalinya.

Kes jenayah juga semakin bertambah disebabkan keinginan untuk mencuba sesuatu yang baru tetapi tidak berpandukan agama dan akal. Golongan remaja terutamanya sering bertindak mengikut perasaan. Mereka menganggap tindakan mereka betul dan tidak mengendahkan nasihat atau pandangan orang lain terutamanya orang yang lebih tua atau berpengalaman seperti ibu bapa dan guru.

Antara faktor lain berlakunya kegiatan jenayah adalah mempunyai banyak waktu lapang yang tidak diisi dengan aktiviti-aktiviti sihat atau yang boleh mendatangkan faedah. Di Kelantan, sebagai contoh, kekurangan peluang pekerjaan turut menyumbang kepada masalah ini. Ramai yang hanya membuat kerja-kerja kampung atau bekerja sebagai buruh binaan dan ada yang sekadar duduk di rumah tanpa apa-apa pekerjaan.

Jika diteliti kes-kes jenayah seperti ragut atau pecah rumah, kebanyakan yang didakwa dilaporkan sebagai penganggur. Perkara ini perlu ditangani secara objektif tanpa prejudis terhadap mana-mana kumpulan, tidak mengira agama, fahaman politik dan sebagainya. Perlu ada usaha bersungguh-sungguh untuk mengkaji dan sama-sama membantu menyelesaikan masalah yang semakin meruncing ini.

Kerajaan negeri dan persekutuan perlu mengambil langkah proaktif dengan melibatkan semua agensi berkenaan, sama ada dari pihak kerajaan atau sebaliknya, untuk sama-sama mencari formula bagi meningkatkan peluang pekerjaan dan memperbaiki keadaan sosioekonomi supaya anak-anak muda terutamanya memiliki sumber pendapatan dan tidak terlibat dengan masalah sosial.

Menurut laporan Penyiasatan Isi Rumah (HIS) yang diterbitkan oleh Jabatan Perangkaan Malaysia pada tahun 2014, 50 peratus daripada isi rumah Malaysia berpendapatan RM4,585 ke atas sebulan. Ini adalah peningkatan sebanyak 11.7 peratus setahun sejak 2012 (RM3,626).

Namun begitu, terdapat 9 negeri yang berada di bawah pendapatan median nasional, dan di tangga tercorot ialah negeri Kelantan dengan pendapatan isi rumah bulanan median sebanyak RM2,716, diikuti Pahang (RM3,389), Kedah (RM3,451), Perak (RM3,451), Perlis (RM3,500), Sabah (RM3,745), Terengganu (RM3,777), Sarawak (RM3,778) dan Negeri Sembilan (RM4,128). Manakala 5 negeri lagi mempunyai pendapatan bulanan median melebihi RM4,585 iaitu Pulau Pinang (RM4,702), Melaka (RM5,029), Johor (RM5,197), Selangor (RM6,214) dan Kuala Lumpur (RM7,620).

Menurut laporan yang sama, jika berdasarkan purata pendapatan kasar bulanan, Kelantan masih merupakan negeri termiskin di Malaysia dengan purata pendapatan kasar sebanyak RM3,715 sebulan, berbanding negeri-negeri lain yang berpendapatan lebih RM4,000 sebulan.

Walau bagaimanapun, pendapatan purata atau median bulanan tidaklah menggambarkan realiti sebenar kadar kemiskinan di negara ini. Pendapatan bulanan sebanyak RM3,000 di Kuala Krai sudah boleh hidup senang, dengan sewa rumah sebulan sekitar RM300 untuk rumah kampung, tetapi jumlah yang sama mungkin tidak memadai untuk bandar-bandar besar seperti Kuala Lumpur dan Johor Bharu kerana kos sara hidup yang tinggi.

Pendapatan yang tidak saksama disebabkan oleh ketidakseimbangan pembangunan ekonomi serta kurangnya peluang pekerjaan akibat kelembapan dan ketidakstabilan ekonomi menyumbang kepada masalah kemiskinan dan seterusnya meningkatkan masalah sosial. Tidak dinafikan sikap juga memainkan peranan. Kemiskinan merupakan satu masalah sosioekonomi. Orang miskin biasanya terbeban dengan hutang yang banyak, kurang pendidikan, mempunyai perlindungan kesihatan yang terhad, tanggungan yang ramai dan lebih terdedah kepada jenayah kerana desakan hidup.

Sejauh manakah kadar kemiskinan mempengaruhi kadar jenayah di Malaysia? Menurut kajian pada tahun 2015 oleh Chor Foon Tang dan Sezali Md. Darit dari USM yang bertajuk “Macroeconomic Determinants of Crime Rate in Malaysia” yang diterbitkan dalam Jurnal Ekonomi Malaysia, kadar pengangguran dan kemiskinan mempengaruhi kadar jenayah di Malaysia secara positif. Mereka membuat kesimpulan bahawa kadar jenayah dapat dikawal apabila kadar pengangguran dan inlflasi dikurangkan melalui penciptaan peluang pekerjaan.

Menurut Ketua Polis Kelantan, Datuk Mazlan Lazim, sepanjang tempoh Januari hingga Oktober tahun 2015, indeks jenayah di Kelantan menurun sebanyak 11.45%, iaitu sebanyak 4,541 kes jenayah seperti pecah rumah, ragut dan curi kenderaan berbanding 5,128 kes dalam tempoh yang sama pada tahun 2014.

Berbalik kepada persoalan adakah kemiskinan dan jenayah saling berkait, sekumpulan penyelidik yang diketuai oleh Dr. Hasan Bahrom dari UiTM Terengganu telah mengadakan satu bancian soal selidik terhadap penghuni di pusat-pusat pemulihan akhlak yang terdapat di Pantai Timur pada tahun 2004. Beliau ingin mengetahui adakah kemiskinan menjadi punca kepada berlakunya gejala sosial di kalangan generasi muda, dan adakah hubung kait antara kemiskinan dan gejala sosial, serta sejauh manakah pengaruh kemiskinan terhadap gejala sosial.

Kajian yang melibatkan 204 responden itu terdiri daripada 126 orang (61.8 peratus) lelaki dan 78 orang (38.2 peratus) perempuan. Perbezaan yang besar antara bilangan responden lelaki dan perempuan ini adalah kerana kajian ini melibatkan tiga pusat yang mana hanya salah satu daripadanya menempatkan pesalah jenayah juvana perempuan. Tiga pusat tersebut ialah Sekolah Tunas Bakti Perempuan dan Sekolah Tunas Bakti Lelaki di Jerantut, Pahang dan Asrama Pusat Pemulihan Rusila, Terengganu yang hanya menempatkan pesalah juvana lelaki sahaja.

Dari sudut kaum, didapati mereka yang paling ramai mendiami tempat penahanan ini terdiri daripada orang Melayu. Daripada 204 responden, 190 orang (93.1 peratus) terdiri daripada kaum Melayu, Cina seramai 7 orang (3.4 peratus), India 5 orang (2.5 peratus) dan kaum lain seramai 2 orang (1 peratus) sahaja. Ini disebabkan orang Melayu adalah kaum majoriti di Malaysia, khususnya di Semenanjung Malaysia, lebih-lebih lagi di negeri Pantai Timur. Maka boleh dikatakan hasil kajian tersebut adalah selari dengan statistik populasi di kawasan terbabit. Tambahan pula kajian hanya melibatkan 204 responden di tiga sekolah seperti yang dinyatakan.

Hampir lapan puluh peratus keluarga atau penjaga responden mempunyai pendapatan kurang daripada RM1,000 sebulan. Seramai 85 responden mengatakan pendapatan keluarga mereka kurang daripada RM500 sebulan (garis kemiskinan pada tahun 1999 ialah pendapatan RM510 bagi setiap keluarga dengan kadar empat hingga lima orang isi rumah). Ini bermakna lebih 40 peratus penjaga responden berada di bawah taraf kemiskinan yang ditetapkan oleh kerajaan.

Apabila dibuat perbandingan lanjut antara pendapatan penjaga dan bilangan tanggungan, didapati penjaga yang mempunyai pendapatan di bawah RM500 mempunyai tanggungan yang ramai berbanding penjaga yang mempunyai pendapatan RM3,000 ke atas. Pendapatan yang rendah serta bilangan ahli tanggungan yang ramai mewujudkan suasana yang tidak selesa di kalangan penghuni rumah terutama bagi rumah yang sempit. Keadaan ini memberikan satu tekanan perasaan yang seterusnya merangsang jiwa remaja untuk memberontak. Pemberontakan ini mendorong mereka untuk lebih suka berada di luar berbanding di rumah sendiri.

Dari segi jenis kesalahan pula, jenayah remaja didapati lebih tertumpu kepada melakukan kesalahan mencuri. Perbuatan ini dilakukan atas desakan ekonomi, semata-mata untuk mendapatkan apa yang mereka inginkan dan memenuhi keperluan harian.

Amar Singh Sidhu pada tahun 2005, telah mengkaji peningkatan jenayah di Malaysia; dari segi faktor yang mempengaruhi serta cara mengatasinya. Beliau menganalisis data indeks jenayah dari tahun 1990 hingga 2002. Hasilnya menunjukkan kadar jenayah di Malaysia adalah pada tahap yang membimbangkan, di mana terdapat peningkatan pada setiap tahun dan antara faktor yang mempengaruhi jenayah adalah pertambahan penduduk dan kadar pengangguran yang tinggi.

Thomas M. Aravanites and Robert H. Defina juga menyatakan masalah pengangguran sebagai faktor penting dalam peningkatan kadar jenayah seperti yang dilaporkan dalam jurnal Criminology pada tahun 2006.

Persekitaran sosial yang buruk dan tekanan hidup akibat kemiskinan dan kemunduran menjurus kepada kegiatan antisosial, juga gengsterisme, pengedaran dadah, dan pelacuran. Pengaruh media massa yang semakin banyak menonjolkan hiburan melampau, rancangan atau program berunsur ganas dan bersifat destruktif, tidak kurang juga kandungan seksual yang eksplisit serta budaya hidup liar, juga menyumbang kepada peningkatan jenayah sehingga ia dianggap sesuatu yang biasa dalam kehidupan moden.

Kesimpulannya, kemiskinan menyumbang kepada peningkatan jenayah di Kelantan, tetapi ia bukanlah satu-satunya faktor. Pendidikan yang bermula di rumah terutamanya pendidikan agama, pengaruh media massa, persekitaran dan rakan sebaya turut menyumbang ke arah peningkatan jenayah, bukan sahaja di Kelantan tetapi di mana-mana. Masalah jenayah yang mengancam masyarakat dan negara tidak boleh dibanteras tanpa kerjasama semua pihak. Keberkesanan sistem perundangan juga penting dalam usaha membendung masalah ini.

Salah satu cara yang sangat penting dan berkesan untuk menghindarkan jenayah adalah dengan hidup beragama. Selain itu, lebih kuasa perlu diberikan kepada pihak berwajib seperti polis dan pasukan keselamatan serta Pejabat Agama untuk membantu dalam melindungi masyarakat dan negara daripada ancaman sebarang bentuk jenayah mengikut lunas undang-undang yang betul, sama ada undang-undang sivil atau syariah.

Pengukuhan kuasa serta ketelusan pelaksanaan undang-undang membolehkan pihak yang berwajib ini bertindak dengan lebih tegas termasuk dalam menangani dan mengatasi jenayah yang melibatkan pihak yang berpengaruh, mempunyai wang, kuasa, dan kedudukan yang tinggi. Kerjasama erat antara polis dan masyarakat adalah konsep permuafakatan bijak yang berkesan dan sesuai dengan konsep membebaskan masyarakat dan negara daripada jenayah.

Kerajaan negeri Kelantan telah menjalankan usaha berterusan untuk memperkasakan undang-undang Islam, serta memperbanyakkan program berbentuk kerohanian agar rakyat memahami dan seterusnya mengamalkan ajaran Islam yang sebenar. Namun, pada masa yang sama, usaha yang giat diperlukan juga untuk membangun dan memperkasakan ekonomi rakyat Kelantan.

Usaha-usaha ini hanya akan membuahkan hasil sekiranya semua pihak saling menyokong, bantu-membantu, dalam apa jua cara, membuang sikap suka mencari kesalahan dan menjatuhkan orang atau pihak lain, utamakan persamaan dan ketepikan perbezaan. Semuanya mungkin dengan hati yang bersih dan sifat saling menghormati dan berkasih sayang.

 

Johari Yap
Pengerusi Persatuan Cina Muslim Malaysia (MACMA), Cawangan Kelantan