Sat05262018

LAST_UPDATESat, 26 May 2018 10am

Kenapa Harus Takut Dengan Zakir Naik?

Apabila syarahan umum Dr Zakir Naik, seorang tokoh pendakwah dari India, yang dijadualkan pada 17 April 2016 di Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UteM), dibatalkan atas arahan polis, maka riuhlah di media sosial dengan pelbagai status dan perbahasan mengenainya.

Siapakah sebenarnya Dr Zakir Naik? Nama penuh beliau adalah Zakir Abdul Karim Naik, lahir pada tanggal 18 Oktober 1965 di Kota Mumbai, India. Beliau berkelulusan MBBS (Bachelor of Medicine, Bachelor of Surgery) dari University of Mumbai dan pernah bekerja sebagai seorang doktor di Mumbai. Beliau mengambil keputusan untuk berhenti berkhidmat sebagai doktor pada tahun 1991 untuk menjadi seorang pendakwah Islam sepenuh masa. Beliau sudah beristeri dan mempunyai sepasang cahaya mata iaitu Fariz Zakir Naik dan Rushda Naik.

Dr Zakir Naik mendapat inspirasi dari Ahmed Deedat yang merupakan pendakwah Islam yang pakar dalam perbandingan agama dan aktif melakukan dakwah selama lebih 40 tahun. Selama beliau aktif dalam dunia dakwah, Dr Zakir Naik sudah banyak kali mengelilingi dunia mengunjungi banyak negara untuk menyampaikan ceramah. Di India sahaja, debat atau ceramahnya dihadiri oleh puluhan ribu orang dan bukan sahaja dihadiri oleh orang Islam tetapi juga Kristian, Hindu mahupun Atheis yang bukan sahaja ingin menimba ilmu tetapi mungkin juga mempunyai kemusykilan-kemusykilan yang mahu ditanyakan kepada Dr Zakir Naik.

Salah satu kelebihan-kelebihan yang dimiliki oleh Dr Zakir Naik adalah ingatan beliau yang kuat. Beliau bukan sahaja mampu menghafal surah-surah Al-Quran mahupun hadis-hadis Bukhari dan Muslim, malah beliau juga memiliki hafalan yang kuat terhadap kitab-kitab agama lain seperti kitab Injil, Veda, Tripitaka, dan Bhagavad Gita. Beliau boleh mengupas dengan baik isi kandungan dalam Injil ketika diajukan soalan oleh penonton dalam sesi soal jawab. Kita dapat melihat secara langsung melalui siaran Peace TV mahupun rakaman yang terdapat dalam Youtube betapa hebatnya insan yang bergelar Zakir Naik ini.

Pengerusi Hindraf, P Waythamoorthy, dalam kenyataannya menggesa kerajaan untuk tidak membenarkan Dr Zakir Naik menyampaikan siri ceramahnya di beberapa bandar di Kuala Lumpur dan Terengganu. Waythamoorthy mendakwa kononnya ajaran yang disampaikan tidak sejajar dengan pegangan Ahli Sunnah Wal Jamaah. Agak pelik untuk seorang yang beragama Hindu boleh mendakwa Dr Zakir Naik bukan dari aliran Ahli Sunnah Wal Jamaah. Adakah Waythamoorthy mempunyai ilmu dalam bidang ini atau agama Islam?

Tindakannya itu diikuti pula oleh Timbalan Ketua Menteri Pulau Pinang, Profesor Dr Ramasamy, yang menyifatkan Dr Zakir Naik sebagai “Satan” dalam status Facebook beliau, sebelum diedit 3 jam kemudian. Status Facebook ini telah mencetuskan reaksi kurang senang netizen yang menganggap tindakannya itu sebagai biadap dan kurang ajar.

Selepas itu, Ketua Pemuda MIC, C Sivarraajh, pula mengeluarkan kenyataan bahawa Dr Zakir Naik merendah-rendahkan agama lain yang boleh mencetuskan rasa kurang senang kerana tidak menghormati dan sensitif terhadap agama lain. Pihaknya akan membuat laporan polis di seluruh negara bagi menghalang Dr Zakir Naik berceramah di sini.

Malah, pihak pemuda MIC dilaporkan akan menyerahkan memorandum kepada Menteri Dalam Negeri dan Ketua Polis Negara supaya sebarang aktiviti yang melibatkan Dr Zakir Naik dihentikan. Selain MIC, Persatuan Progresif India Malaysia (Mipas) juga antara gerakan-gerakan yang menentang kedatangan Dr Zakir Naik ke Malaysia.

Sangat menyedihkan apabila tentangan terhadap Dr Zakir Naik ini bukan sahaja dari pihak Non Muslim tetapi juga mereka yang beragama Islam. Presiden Persatuan Ahli Sunnah Wal Jamaah Malaysia (ASWAJA), Ustaz Zamihan Mat Zin berkata, kehadiran Dr Zakir Naik ke Malaysia harus ditapis pihak berkuasa agama, Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan polis. Menurutnya, Dr Zakir Naik adalah penceramah asing yang sepatutnya ditapis terlebih dahulu untuk mengelakkan kontroversi agama sekaligus menjadikan ekosistem Ahli Sunnah Wal Jamaah Malaysia terpelihara dari sebarang unsur yang tidak diingini.

Yang ironinya, Dr Zakir Naik pernah dinobatkan sebagai Tokoh Maal Hijrah 1435H/2013M yang disampaikan sendiri oleh Yang Dipertuan Agong Malaysia, Tuanku Abdul Halim Mu’adzam Shah, di Putrajaya. Kini, beliau tidak dapat menyampaikan ceramahnya yang bertajuk “Persamaan antara Hindu dan Islam” di UteM atas sebab ketenteraman awam dan sensitiviti agama di Malaysia?

Surat rasmi yang ditulis oleh Datuk RS. Mohan Shan, presiden Malaysia Hindu Sangam, yang bertarikh 7 April 2016 dan ditujukan kepada Ketua Polis Negara dan salinan kepada YAB Perdana Menteri, Timbalan Perdana Menteri, Menteri Pendidikan, UMT, UteM dan juga saudara Nicholas Sylvester dari Hidayah Centre, sudah tersebar melalui jaringan sosial. Antara kandungan surat, Mohan Shan menuduh pihak penganjur cuba mempengaruhi serta memaksa penganut agama lain memeluk agama Islam semata-mata kerana jemputan-jemputan ke program Dr Zakir Naik menggalakkan orang bukan Islam untuk hadir.

Hakikatnya, tiada paksaan untuk orang bukan Islam hadir ke program Dr Zakir Naik. Jika mereka hadir, maknanya mereka ingin tahu. Dan kenapa tiada masyarakat Cina yang menentang kedatangan Dr Zakir Naik? Sedangkan ramai juga orang Cina yang beragama Kristian di Malaysia. Tidakkah mereka merasa tergugat dengan kepetahan Dr Zakir Naik mengulas kitab Injil dalam perbandingan dengan kitab Al-Quran? Adakah kerana Dr Zakir Naik ini datang dari Mumbai, India, bukannya Xinjiang ataupun Linxia di China?

Mungkin juga kerana Dr Zakir Naik tidak tahu bahasa Cina, serta bukan pakar falsafah Cina, maka kedatangan beliau juga tidak signifikan kepada masyarakat Cina bukan Islam. Oleh itu, beliau dilihat lebih menggugat masyarakat India bukan Islam kerana faktor-faktor tersebut?

India mempunyai anggaran 1 billion penduduk yang beragama Hindu berdasarkan bancian tahun 2011 yang dikeluarkan oleh Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri, Kerajaan India, iaitu 79.8% dari keseluruhan 1.2 billion penduduk, jika dibandingkan dengan 14.2% penduduk India yang beragama Islam. Kerajaan India yang dipelopori oleh penganut Hindu, dengan majoriti penduduk beragama Hindu, membenarkan Dr Zakir Naik membuka stesen TV sendiri, serta membuat ceramah secara terbuka di Mumbai. Masyarakat Hindu di sana tidak sedikitpun merasa terancam atau kurang senang terhadap beliau.

Dr Zakir Naik menjadi popular kerana mampu memberikan jawapan yang baik dengan penilaian yang kritis dalam menjawab soalan-soalan yang mencabar yang diajukan penonton dalam ceramah-ceramah beliau. Beliau memberikan pandangan dan jawapan menggunakan Al-Quran, Hadis, bersama fakta saintifik serta input-input berkaitan dari kitab-kitab agama lain sebagai tambahan.

Beliau sekadar menterjemah dan mentafsir apa yang sudah sedia ada dalam kitab-kitab agama Hindu serta Injil, bukannya menghina atau merendah-rendahkan apatah lagi menokok tambah cerita, sama ada mengenai Islam mahupun agama-agama lain. Ini adalah proses pencerahan. Bagi mereka yang berfikiran sempit dan mungkin tidak mendalami kitab agama mereka sendiri, akan meniupkan prasangka kononnya Dr Zakir Naik ini suka merendah-rendahkan agama lain.

Dalam sidang akhbar pada 11 April 2016 di Hotel Putra, Kuala Lumpur, presiden Multiracial Reverted Muslims (MRM), Firdaus Wong Wai Hung, berkata Dr Zakir Naik tidak pernah mengajar sesiapa untuk menghina agama lain atau menggunakan perkataan kasar ketika menyampaikan ceramah. Beliau dan Azran Chan merupakan Cina Muslim yang terpilih bersama empat orang lagi dari Malaysia untuk menjadi anak murid Dr Zakir Naik selama 45 hari di Mumbai bagi mendapatkan latihan dalam penyampaian dakwah.

Malah, menurut Firdaus Wong lagi, sepanjang beliau bersama Dr Zakir Naik, antara prinsip-prinsip yang diajar adalah jangan menghina agama lain ketika menyampaikan ceramah. Dr Zakir Naik sering mengingatkan mereka supaya menggunakan perkataan-perkataan yang baik dan mengelakkan perkataan-perkataan kasar ketika memberikan nasihat atau ceramah.

Kedatangan Dr Zakir Naik adalah untuk memperbetulkan persepsi salah mengenai Islam yang disebarkan media Barat, lebih-lebih lagi sejak peristiwa 11 September 2001 di Amerika Syarikat. Islam adalah agama yang benar, agama yang mencintai keamanan. Media adalah cara terbaik dan paling efektif untuk menyampaikan mesej kepada orang ramai dan inilah yang cuba disampaikan oleh Dr Zakir Naik. Janganlah kerana ketidakyakinan dan kelemahan (insecurity) sendiri atau apa sahaja perbezaan pandangan membuatkan kita terjerumus ke kancah fitnah.

Ya, Malaysia adalah negara berbilang kaum, sebagai mana juga banyak negara lain, seperti Amerika Syarikat, sebagai contoh. Pada masa yang sama, Malaysia juga adalah sebuah negara Islam yang mempunyai perlembagaan yang melindungi dan menjaga kepentingan-kepentingan Islam. Maka, selagi mana tidak ada paksaan, penulis tidak melihat mengapa kehadiran Dr Zakir Naik menjadi isu.

Firmah ALLAH dalam surah Al-Baqarah ayat 256 yang bermaksud:

“Tidak ada paksaan dalam memeluk agama. Sungguh telah jelas antara kebenaran dan kesesatan.”

 

Johari Yap
Pengerusi Persatuan Cina Muslim Malaysia (MACMA), Cawangan Kelantan