Tue11212017

LAST_UPDATETue, 21 Nov 2017 12am

Teroka Bandar Raya Dengan KL Pass

KUALA LUMPUR - Para pelancong sama ada domestik atau asing kini boleh meneroka tempat tarikan pelancongan di bandar raya dengan lebih mudah menggunakan KL Pass atau pas pelancongan, yang diperkenalkan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) mulai hari ini.

Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Mhd Amin Abd Aziz berkata, pas pelancongan bersepadu ditampilkan dalam enam variasi iaitu 1-Hari, 3-Hari dan 6-Hari untuk dewasa dan kanak-kanak dengan harga bermula RM125 hingga RM675.

KL Pass menawarkan pelbagai faedah dan kemudahan yang membolehkan pelancong melawat 17 tempat sekitar di ibu negara antaranya seperti Menara KL, Aquaria KLCC, Berjaya Times Square Indoor Theme Park, Sunway Lagoon Theme Park dan Zouk KL.

"Selain itu, pengguna juga boleh mendapatkan diskaun dan tawaran lain semasa membeli-belah, berada di restoran, kafe, bistro dan tempat hiburan di Kuala Lumpur hanya dengan menunjukkan kad itu," katanya dalam sidang media selepas melancarkan KL Pass di sini.

Mhd Amin berkata, kad yang dilengkapi sistem berasaskan cip pintar dan mempunyai kapasiti untuk mengendalikan wang digital dapat membantu pelancong menikmati percutian dengan selamat dan mudah tanpa perlu membawa wang tunai yang banyak.

Bagi DBKL, beliau berkata penggunaan pas pelancongan itu mampu menyalurkan pelbagai maklumat seperti pengunjung baharu, meningkatkan hasil pendapatan peniaga, pemasaran sekali gus menyediakan maklumat data pengesanan tingkah laku pengunjung.

Selain itu, ia juga dapat membantu pengurusan perkhidmatan pengangkutan awam seiring dengan standard yang digariskan dalam Pelan Induk Pelancongan Kuala Lumpur 2015-2025.

Direka oleh syarikat tempatan iaitu Meridian Tourist Access Sdn Bhd dengan sokongan DBKL dan Tourism Malaysia, KL Pass merangkumi ciri-ciri standard antarabangsa setanding dengan pas pelancong seperti Paris Pass, London Pass dan New York Pass.

Sementara itu, Pengarah Urusan Meridian Tourist Access Sdn Bhd Farouk Nurish mengunjurkan 20,000 kad KL Pass dijual dalam tahun pertama ini.

"Setakat ini, laman web KL Pass menarik lebih 2,000 hits pelawat dari seluruh dunia dalam tempoh dua minggu ia dilancarkan pertengahan September.

"Untuk fasa kedua kelak, kami akan menawarkan lebih perkhidmatan pengangkutan awam serta memperkenalkan pas yang memenuhi keperluan pelancong domestik seperti KL Dining Pass dan KL Wellness Pas," katanya.

KL Pass boleh didapati secara online menerusi laman web KL Pass atau boleh dibeli di beberapa pusat jualan seperti di KL City Gallery, KL Concierge Kiosk dan di kaunter tiket KL Hop-On-Hop-Off bermula hari ini.

- Bernama